S. Vijayan

Sehingga kini, menurut mereka, kepemimpinan parti masih bersikap acuh tidak acuh terhadap pelbagai isu dibangkitkan oleh ahli-ahli berkaitan pemilihan semula itu yang dijadualkan pada 12 November ini.

Bekas Setiausaha DAP Cawangan Taman Bukit Emas, S. Vijayan berkata, sehingga kini, kepemimpinan DAP masih enggan mempamerkan senarai nama para perwakilan yang akan mengundi dalam pemilihan itu di akhbar pelbagai bahasa se­perti didesak ahli.

Katanya, para perwakilan juga belum menerima surat jemputan bagi menghadiri pemilihan berkenaan yang dibuat melalui kongres khas.

“Ahli-ahli dan para perwakilan sudah muak dengan cara DAP melayan kami di peringkat akar umbi. Mengapa sampai saat ini masih hendak berselindung dan tidak telus dengan pemilihan semula ini.

“Pemimpin DAP harus ingat bahawa tanpa ahli akar umbi maka tidak akan ada pemimpin. Jangan abaikan ahli-ahli seperti kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pertikaian antara ROS dengan DAP bermula pada April 2013 apabila parti itu diberitahu barisan kepemimpinan yang dilantik pada 2012 adalah tidak sah. Ia kemudian memaksa DAP me­ngadakan pemilihan semula pada September 2013.

Pada Julai lalu, ROS mengesahkan telah menghantar surat kepada DAP meminta supaya pemilihan semula dilakukan bagi CEC parti itu.

Vijayan berkata, ahli-ahli DAP tetap bertegas supaya pemilihan semula itu diadakan melalui kongres kebangsaan dan bukannya kongres khas seperti dimahukan oleh sesetengah pemimpin tertentu.

“Kongres khas akan membo­leh­kan beberapa agenda mesyuarat ditiadakan seperti pembentangan penyata kewangan dan ahli-ahli tidak dapat mengemukakan usul dan berbahas.

“Ini akan dapat mengelakkan isu dan masalah parti dibangkitkan hingga menjadi pengetahuan ramai,” ujarnya.