NORHASLINA

Wakil Pergerakan Wanita UMNO, Norhas­lina Zainal Abidin berkata, dalam keadaan parti berdepan de­ngan cabaran berikutan perselisihan dalaman, langkah mematangkan ahli UMNO adalah merupakan prasyarat terpenting berbanding hal-hal yang lain.

“Pemimpin yang matang amat penting dalam memastikan gerak langkah, tutur kata dan adab bicara tidak tersasar serta tidak mengelirukan kami di bawah ini,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Pada sesi perbahasan itu, Norhaslina mencuri tumpuan para perwakilan apabila beliau dalam keadaan sebak membacakan puisi perpaduan khas buat Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sembrong menambah, meskipun aspek-aspek lain se­perti proses peremajaan UMNO penting tetapi dalam situasi politik UMNO sekarang, kematangan harus menjadi keutamaan agar masalah semasa tidak menjadi marak.

Namun katanya, itu tidak bermakna usaha-usaha meremajakan parti yang telah sekian lama dijalankan perlu diketepikan, tetapi perkara tersebut mestilah dijayakan secara beriringan agar parti mendapat manfaat seoptimum mungkin.

“Kita perlu mendoktrinkan pengundi muda dengan UMNO kerana berdasarkan data semasa pengundi muda berusia bawah 40 tahun adalah berjumlah 38 peratus tetapi dalam soal peremajaan ini, apa yang lebih penting ialah peremajaan pendekatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Norhaslina meminta kerajaan memberi tumpuan khusus terhadap kebajikan penjawat awam terutamanya anggota keselamatan yang tidak pernah gagal mendokong aspirasi kerajaan selain tugas hakiki mereka menjaga keselamatan negara.

Katanya, tumpuan juga perlu diberikan kepada guru kerana peranan serta pengaruh golongan pendidik dalam mempengaruhi keputusan pengundi tidak sedikit, malah di kawasan tertentu boleh menjadi penentu kepada kemena­ngan Barisan Nasional (BN).