Walau bagaimanapun, Abdul Rahman tidak menafikan masih banyak isu yang perlu ditangani di negeri Sabah, bagi mengetahui lebih lanjut persiapan dan sentimen penduduk Sabah ketika ini, ikuti temu bual wartawan MUZDALIFAH MUSTAPHA bersama Abdul Rahman.

 

UTUSAN: Soal kesiapsiagaan jadi tumpuan kali ini malah Presiden mengingatkan setiap ahli agar mempersiapkan diri, bagaimana Datuk Seri mengambil tanggungjawab ini?

ABDUL RAHMAN: Bagi saya bersiapsiaga dalam bentuk digital paling penting kerana sekarang adalah masa perang digital. Pada tahun 2008 kita tidak mampu mela­wan dari aspek digital sampai kita hampir tewas, Alhamdulillah tahun 2013, kita mampu beri persaingan yang sengit kepada pembangkang. Walaupun pembangkang banyak menyebarkan pembohongan kita tidak berbuat demikian kerana kita kerajaan yang bertanggungjawab.

Sejauh mana impak perhimpunan kali ini ke atas perwakilan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang?

Saya lihat perwakilan amat bersedia baik dari segi psikologi dan semangat, mereka semua sudah sedia, cuma apa yang saya bimbang nanti kalau kita tahan ia (PRU) jadi lama sangat, maka semangat mereka itu akan kempis balik. Tetapi perwakilan tahu tinggal beberapa bulan sahaja untuk pilihan raya umum diadakan kerana kita semua telah diberi peringatan berkali-kali oleh jentera dan peringkat sayap, bunyikanlah semboyan itu, kita akan gempur.

Apakah isu utama yang perlu ditangani oleh UMNO Sabah bagi memastikan kemenangan BN dipertahankan?

Di Sabah pembangkang tak ada isu, yang biasa mereka mainkan adalah Sabah untuk Sabah. Kalau daripada segi pembangunan, mereka (pembangkang) jauh ke­tinggalan. Begitu juga dari segi perancangan ekonomi, masa depan, kerjaya dan sumber manusia, mereka takkan dapat tandingi BN dan UMNO, jadi mereka hanya memainkan sentimen Sabah untuk Sabah dan Malaysia untuk Malaysia, namun ada kalanya sentimen itu mempengaruhi penduduk.

Adakah Datuk Seri akan mempertahankan kerusi di Kota Belud, kerana terdapat desas desus mengatakan mungkin ke Sepanggar?

Saya ini orang yang tidak beribu dan berbapa, saya berasal dari Tuaran tetapi dicalonkan di Kota Belud dan Alhamdulillah saya mendapat sokongan dengan pertambahan majoriti dan memena­ngi Kota Belud. Jadi secara peribadi memang berminat untuk bertan­ding di Kota Belud sekali lagi kerana saya ba­nyak perancangan terutama de­ngan kedudukan saya selaku menteri di Unit Perancang Ekonomi (EPU). Tetapi saya akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh peringkat tertinggi parti.

Timbalan Presiden UMNO menekankan pentingnya isu dalaman diketepikan termasuk soal pemimpin yang berpaling tadah. Apa pandangan Datuk Seri?

Nasihat itu memang sesuai dan berpatutan kerana memang ada dalam mana-mana organisasi besar, kalau tidak sentiasa ingat-mengingati supaya kita jangan bergaduh dan berselisihan pendapat, ianya sukar.