Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih berkata, cogan kata ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ bukan hanya sebagai perhiasan semata-mata sebaliknya membawa pengertian besar selain wajar diterjemah melalui perjuangan di kawasan masing-masing.

Malah, menurutnya, setiap ahli UMNO berupaya menepis segala persengketaan dan permasalahan dalaman jika cogan kata itu tersemat di sanubari mereka.

“Jika terdapat permasalahan dalam sesuatu isu, kita perlu merujuk kembali kepada cogan kata parti. Cogan kata ini boleh dijadikan panduan dan pedoman supaya kita tidak berpecah-belah ketika berdepan masalah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya berkata, setiap ahli parti perlu sedar bahawa UMNO hanya mempunyai satu nakhoda untuk mengemudi parti keramat Melayu ini.

Sambil berkias, katanya, selaku ‘anak kapal’, mereka perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada nakhoda kapal agar hala tuju pelayaran kapal itu tidak terjejas.

“Jika ada ramai yang cuba menjadi nakhoda, hala tuju sesebuah kapal itu akan menjadi tidak tentu arah selain boleh menyebabkan kapal berkenaan karam begitu sahaja,” katanya.