Rozman berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira masa depan Wilayah Persekutuan Labuan pada masa akan datang.

Katanya, perubahan itu bertujuan memperbaiki sistem pentadbiran pada peringkat struktur sekali gus membolehkan hubungan rapat dengan jiran terdekat khususnya Sabah.

“Hubungan dengan Sabah harus lebih rapat dan jitu kerana usaha itu adalah wajar untuk pembaharuan yang bermula dengan Ahli Parlimen Labuan datang dari sebuah parti yang berpusat di Sabah.

“Saya percaya langkah ini akan menjadi lembaran baru ke arah hubungan di antara Labuan dan Sabah yang lebih intim dan produktif serta bakal membawa faedah kepada kedua-duanya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rozman memberitahu, beliau juga mahu bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin di Sabah dan Sarawak memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

“Saya berpendapat satu fasa baru dalam hubungan politik, ekonomi dan pentadbiran yang lebih erat di antara Labuan dan Sabah harus diwujudkan.

“Selain itu, keadaan ekonomi semasa dan kedudukan Labuan dalam Malaysia yang unik berbanding dengan kawasan-kawasan parlimen lain memerlukan saya membuat keputusan ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE