Bekas Setiausaha DAP Cawangan Ladang Regent, K. Chelvam (gambar) mendakwa, rata-rata ahli di peringkat akar umbi melihat firma tersebut dipilih untuk menjaga kepentingan peribadi pemimpin DAP terutama Penasihatnya, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung yang masih belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng.

“Jadi kami tidak mahu apabila pemilihan semula dijalankan kelak, ada pula keputusan berat sebelah dan tidak adil untuk mana-mana pihak hanya kerana mahu menjaga kepentingan pe­mimpin DAP tertentu.

“Pemilihan semula mesti diadakan secara telus, terbuka dan bebas supaya keputusannya nanti tidak akan dipertikai oleh ahli dan akar umbi,” katanya dalam sidang akbar dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MIC cawangan Gemencheh Baru, S. Periyah dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat India Baru Negeri Sembilan, S. Ganesan.

Baru-baru ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Dalam pada itu Chelvam turut bertegas mahu pimpinan DAP mengikut kehendak akar umbi yang mahu melibatkan firma audit lain seperti Deloitte & Co (Deloitte), Prince Waterhouse Coopers atau Ernst & Young untuk menjadi badan bebas ketika pemilihan itu nanti.

“Pendirian kami tetap sama, mahukan badan yang betul-betul bebas dipilih untuk kendalikan pemilihan semula CEC.

“Kami juga tidak mahu pemim­pin haram mensabotaj parti menggunakan kelebihan yang ada pada mereka dan segera mengikut arahan ROS,” katanya.