Ketua Biro Penerangan PPBM Kuantan, Mohd. Hafiz Azizi Zainudin berkata, ucapan dasar Tun Mahathir bukan sahaja gagal menggariskan dasar perjuangan secara jelas sebaliknya menjadi medan luahan dendam peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Tun Mahathir sepatutnya menggunakan peluang dalam mesyuarat pertama itu untuk menyampaikan amanat berkenaan perjuangan parti kepada perwakilan dan ahli, bukannya matlamat peribadi yang dilihat mahu menjatuhkan Presiden UMNO itu.

“Kedengaran Tun Mahathir kerap menyebut nama Najib dalam ucapan dasarnya dan dengan jelasnya menyebut mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

“Apakah penubuhan parti ini hanya mahu membalas dendam kepada Najib berikutan menganggap Perdana Menteri menjatuhkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz Azizi berkata, dia mengharapkan Dr. Mahathir akan berucap berkenaan perjuangan orang Melayu dalam parti yang boleh diserapkan kepada golongan muda.

“Bagaimanapun, aspek tersebut tidak disentuh sekali gus menunjukkan parti berkenaan tidak mempunyai arah tuju sebenar.

“Mengapa perkara ini tidak disentuh? Saya merasa mesyuarat ini seperti sia-sia dan perjuangan parti hanya agenda peribadi dan dendam sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi perwakilan yang juga Ketua Pemuda PPBM Kuantan, Mohd. Asyraf Mohamad Asri berkata, dia kesal kerana golongan muda tidak diberikan peluang untuk menyoal berkaitan isu terkini terhadap kepemimpinan parti.

“Suara golongan muda seakan-akan disekat dan tiada konsep demokrasi dalam parti, saya kesal kerana tiada sesi soal jawab pada persidangan ini sedangkan golongan muda juga ada pandangan sendiri tetapi seperti disekat,” katanya.