Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin berkata, perkara itu termasuk lantikan jawatan tertentu mengikut kuota parti seperti dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri yang memerlukan persetujuan Pengerusi PKR negeri.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, gesaannya itu adalah wajar memandangkan PKR Pulau Pinang memerlukan seorang ketua atau pemimpin selain PKR negeri-negeri lain  juga sudah mempunyai Pengerusi masing-masing.

"Datuk Seri Saifuddin (Nasution Ismail) mungkin tidak faham sebab beliau sibuk di Putrajaya.

"Tetapi PKR Pulau Pinang memerlukan ketua kerana ahli-ahli parti perlu bekerja dan wakil rakyat kita juga ada beberapa keputusan yang perlu dibuat dalam kerajaan negeri (yang memerlukan persetujuan Pengerusi)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR hari ini yang mengingatkannya untuk menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dan Exco negeri ketika ini berbanding membangkitkan mengenai isu lantikan Pengerusi PKR negeri.

Menurut Saifuddin, Afif perlu menghormati Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan sepatutnya menunggu sebarang keputusan yang akan dibuat pemimpin itu kelak.

“Dr. Afif, adalah lebih molek menumpukan tugas sebagai wakil rakyat dan menyerahkan tugas itu sebagai presiden parti. Tugasan sebagai ADUN dan Exco ini banyak.

“Jadi tugasan untuk menamakan pengerusi negeri, itu tugas Presiden jadi kita tunggu sahajalah. Kita menghormati bidang kuasa Presiden,” katanya Saifuddin seperti dipetik menerusi portal berita.

Dalam pada itu, Afif berkata, selaku Setiausaha Agung PKR, adalah menjadi tugas Saifuddin untuk mengingatkan Anwar berkenaan situasi parti di negeri ini yang masih belum mempunyai Pengerusi.

"Lagipun kita bukan minta untuk melantik sendiri Pengerusi PKR Pulau Pinang itu, sebaliknya menyerahkan kepada Anwar selaku Presiden parti untuk membuat keputusan," katanya. - UTUSAN ONLINE