Terbaharu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula membidas kenyataan Hasanuddin yang disifatkan cuba menggunakan pendekatan agama untuk menghalalkan pemasangan tersebut oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Malah, Tuan Ibrahim secara sinis mempersoalkan perbezaan AES ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditentang habis-habisan oleh Pakatan Harapan dahulu.

"Mengapa pemasangan AES dan saman yang disifatkan menekan serta menzalimi rakyat oleh Pakatan Harapan dahulu tidak dimansuhkan sebaliknya ditambah apabila berkuasa?

“Menepati maqasid syariah (pemasangan AES) ini adakah zaman BN sekali atau untuk zaman Pakatan Harapan sahaja. Kita pertikai dahulu tetapi apabila ada kuasa mengapa tambah lagi (kamera AES).

“AES ini dilihat tidak sesuai malah samannya juga langsung tidak ada diskaun. Bayangkan jika ada kecemasan, kita memandu sedikit terlebih had, ia tetap akan disaman tanpa boleh mengemukakan rayuan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Majlis Satu Dekad Maahad Tahfiz Al-Quran Al Imam An Nawawi (Matin) di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, Hasanuddin berkata, pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menjelaskan kesimpulan itu dibuat berdasarkan perbualan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan Jumaat lalu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, mana-mana Menteri atau Timbalan Menteri Pakatan Harapan yang terbukti menipu mengenai kelayakan akademik perlu mengambil tanggungjawab meletak jawatan.

Katanya, tindakan itu perlu kerana ia melibatkan soal integriti dan moral seseorang pemimpin itu.- UTUSAN ONLINE