Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan untuk mengekalkan status wakil rakyat DAP, Dr. Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut pada 17 Jun tahun lalu.

Perkara itu ditentukan selepas rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan status Tiong Choon, ditolak tanpa kos oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Beliau yang bersidang bersama Harmindar Singh Dhaliwal menolak rayuan itu manakala Datuk Mary Lim Thiam Suan membenarkannya.

Abang Iskandar dan Harmindar berpandangan, perayu tidak mempunyai bidang kuasa untuk melucutkan status Tiong Choon sebagai wakil rakyat berikutan memiliki warganegara Australia yang telah pun dilepaskan sebelum dipilih menjadi ADUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

Menurut Abang Iskandar, DUN hanya mempunyai kuasa menentukan status ahli dewan itu dibatalkan kelayakannya selepas pilihan raya.

“Apabila kebelakang untuk menentukan status seseorang sebelum dipilih sebagai wakil rakyat adalah melebihi kuasa DUN dan pandangan saya tiada sokongan Perlembagaan Sarawak,” katanya.

Pada 12 Mei tahun lalu, DUN Sarawak memutuskan dengan undi majoriti melucutkan kelayakan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut kerana mempunyai kewarganegaraan Australia dan Malaysia.

Beliau memfailkan saman pemula bagi mencabar perlucutan kelayakannya di Mahkamah Tinggi Kuching dengan keputusan dibuat Hakim Douglas Cristo Primus Sikayun memihak Tiong Choon dengan mengembalikannya sebagai ADUN Pujut. -UTUSAN ONLINE