Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, Mohamad Nazaruddin telah menunjukkan tahap kesihatan yang baik dan mula menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

"Alhamdulillah, dia juga hadir dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini. Sebelum saya bercuti kerana menjalani pembedahan baru-baru ini saya doakan dia, nampaknya ada perubahan yang baik.

"Dia sudah mendapatkan rawatan dan memulakan aktiviti sebagai seorang ADUN dan Exco. Insya Allah saya rasa beliau sudah sembuh dan akan pulih sepenuhnya tidak lama lagi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamad Nazaruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri baru-baru ini menafikan beliau bakal meletakkan jawatan ekoran masalah kesihatannya.

Beliau tidak hadir selama tiga hari kerana cuti sakit semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri bulan lalu dan wujud dakwaan beliau mengalami penyakit misteri. Bagaimanapun doktor merumuskan beliau berdepan masalah tekanan.

Berikutan itu, Pemuda UMNO negeri baru-baru ini mendesak beliau melepaskan jawatan kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada rakyat. - UTUSAN ONLINE