Khairul Shahril hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Meru Raya hari ini mengenai perkara tersebut.

Turut memberi keterangan di pejabat SPRM hari ini ialah ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman, ADUN Lubuk Merbau, Dr. Jurij Jalaluddin dan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ketika ditemui, Khairul Shahril berkata, beliau memberi keterangan selama sejam setengah mulai pukul 3.30 petang.

"Saya memberi keterangan kepada SPRM berkaitan dengan isu politik negeri Perak setelah menerima panggilan daripada SPRM pada pukul 12 tengah hari tadi.

"Proses memberi keterangan berjalan lancar dan jika perlu saya sedia dipanggil semula. Ya saya merupakan seorang daripada yang ditawarkan oleh 'sahabat-sahabat' kita berkaitan dengan isu yang berlaku di Perak," katanya.

Sementara itu, Maslin Sham memberi keterangan selama dua jam mulai pukul 2 petang.

Menurutnya, beliau turut mengemukakan dokumen berkaitan isu politik yang berlaku ketika ini.

Ditanya sama ada beliau merupakan antara ADUN UMNO yang ditawarkan untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Maslin Sham enggan mengesahkannya.

"Saya hadir memberi keterangan berkaitan dengan kes politik negeri yang berlaku sekarang," katanya.

Sementara itu, Saarani masih memberi keterangan kepada SPRM sejak pukul 3.30 petang tadi manakala Jurij tiba di Pejabat SPRM pukul 5 petang tadi untuk memberi keterangan. - UTUSAN ONLINE