Suraya Yaacob
SURAYA

Antara yang lantang bersuara berhubung perkara itu adalah Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) yang mempersoalkan sama ada langkah tersebut dibuat bagi memberi lebih komposisi kepada wakil empat parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan kini.

"Di Pendang contohnya, saya difahamkan wakil beberapa agensi dari seperti polis serta Jabatan Kesihatan dikeluarkan daripada senarai ahli majlis.

"Begitu juga di tempat-tempat lain. Jika sebelum ini ada wakil-wakil dari golongan tertentu seperti penjaja, belia dan wanita untuk menjadi suara golongan masing-masing, namun kini kebanyakan ahli majlis didominasi orang politik," katanya ketika membahas titah Sultan Kedah, di sini hari ini.

Selain Suraya, kekhuatiran sama turut dibangkitkan oleh Datuk Dr. Hayati Othman (Pas-Tokai) yang menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang 'malang' buat kepemimpinan di peringkat bawahan yang menjadi jambatan dalam membawa suara rakyat.

Sementara itu Suraya ketika ditemui Utusan Online selepas itu berpendapat, tindakan tersebut jelas merupakan satu langkah ke belakang.

"Saya fikir pihak terbabit perlu bertindak lebih profesional dengan mengutamakan suara golongan yang benar-benar mewakili kumpulan tertentu dalam kalangan rakyat. Apabila wakil-wakil agensi seperti kesihatan ini dikeluarkan contohnya, takkanlah setiap kali wabak denggi meningkat kita perlukan jawatankuasa kecil untuk membincangkan perkara tersebut?

"Kalau begitu, berapa banyak jawatankuasa kecil yang perlu ditubuhkan? Saya fikir perkara dasar seperti ini perlu diberi perhatian," katanya. - UTUSAN ONLINE