Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, beliau sendiri akan mengetuai portfolio Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama negeri manakala 10 portfolio lain ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Mohd. Rafiq Naizamohideen akan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri.

Dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) pertama kerajaan Pakatan Harapan di pejabatnya di sini, Adly berkata, ADUN Bandar Hilir, Tek Kok Kiew akan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri manakala ADUN Rembia, Muhammad Jailani Khamis akan memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri.

"ADUN Durian Tunggal, Mohd. Sofi Abdul Wahab akan memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri manakala ADUN Gadek, G. Saminathan akan memegang portfolio Perpaduan, Sumber Manusia, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan Hal Ehwal Pengguna negeri.

"Turut dilantik adalah ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri serta ADUN Machap Jaya, Ginie Lim Siew Lin sebagai Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri," kata beliau.

Lain-lain portfolio adalah ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri; ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan serta ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan 10 Ahli MKKN (Exco) Melaka berlangsung di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh di sini pagi ini manakala Adly telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka pada Jumaat lalu. - UTUSAN ONLINE