AFEERA AMRAN (kanan) dan Azeera Amran minat dalam bidang politik kerana lebih mencabar.

Lebih berminat dalam bidang politik kerana merasakan, bidang berkenaan menjaminkan sesuatu yang lebih mencabar dan boleh memberi impak besar kepada dunia dan masyarakat.

Dua beradik kembar itu ialah, Pengerusi Kelab UMNO London, Afeera Amran dan Wakil Kelab UMNO Southampton, United Kingdom, Azeera Amran, 22, yang merupakan anak kelahiran Subang Jaya, Selangor.

Sudah menyertai Kelab UMNO hampir setahun, membuatkan mereka lebih tertarik untuk menyingkap, mendalami dan mengetahui lebih banyak berkaitan bidang tersebut.

Bagi Afeera, pelajar tahun kedua jurusan undang-undang Universiti of Essex, United Kingdom, perhimpunan kali ini merupakan platform terbaik untuk mereka sebagai wakil pelajar berjumpa dengan pemimpin-pemimpin ternama, berkongsi pendapat dan pandangan daripada generasi muda.

“Dengan perhimpunan kali ini, sedikit sebanyak dapat membuka peluang kepada saya untuk menyampaikan pandangan, pendapat dan keperluan generasi muda dan selok belok berkaitan dengan dunia politik negara serta mengeratkan hubungan antara wakil pelajar bersama ahli-ahli parti.

“Sudah tiba masanya bagi pemimpin-pemimpin sedia ada menerima pandangan dan suara orang muda bagi tujuan kestabilan dan kemajuan pentadbiran negara.

“Saya merasakan pada masa kini, cabaran dalam bidang politik sangat mencabar, ekoran kecanggihan teknologi, laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, maka dengan itu, pandangan daripada generasi muda amat diperlukan dan penting,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Afeera berkata, dunia politik pada masa sekarang memerlukan pemimpin yang intelektual, berkemahiran dan mesra rakyat.

“Bagi saya, sudah tiba masanya golongan muda seperti kami ini diperlukan dan terlibat dalam bidang politik terutama dalam parti yang utuh seperti UMNO bagi memastikan perjuangan UMNO mempertahankan orang Melayu dapat diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Azeera, pelajar tahun pertama jurusan Sains Aktuari Universiti of Southampton, United Kingdom berkata, golongan profesional diperlukan dalam dunia politik agar ia mampu memberi impak dan kesan kepada masyarakat.

“Apabila kita ada ilmu yang tinggi, sudah tentu memudahkan untuk kita menyampaikan sebarang hujah dan pandangan sekali gus dihormati masyarakat,” katanya.