Antaranya ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan mengadakan kursus bahasa Melayu untuk ahli Parlimen.

Beliau berkata, sewaktu Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Selangor daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008, kerajaan negeri turut menganjurkan kursus untuk ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tahap penguasaan bahasa Melayu mereka tidak dianggap lemah berbanding pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ramai menegur tentang pres­tasi ahli Parlimen berucap dalam bahasa yang pertamanya lemah, keduanya kesat dan kurang sopan.

“Saya terima baik teguran itu. Kalau yang lemah tidak salah bagi Parlimen untuk menganjurkan kursus bahasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan sasterawan dan budayawan di pejabatnya di Petaling Jaya, di sini hari ini.

Antara tokoh yang hadir ialah Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said.

Dalam pertemuan berkenaan, Anwar memberi jaminan untuk terus memberi kerjasama dalam mengembangkan bidang sastera, bahasa, teater dan budaya di negara ini.

Anwar turut menyatakan pandangannya bahawa kerajaan harus terbuka dalam mendepani pelbagai karya, penulisan seni serta sastera.

“Saya percaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta badan lain yang serupa memahami semangat kerajaan Pakatan Harapan yang terbuka, memberi ruang untuk penciptaan dan pengucapan seni lebih bebas. Kalau tidak kita masih di takuk lama.

“Saya tidak cenderung untuk terlalu terikat terhadap isu pengharaman karya. Melainkan buku seperti Satanic Verses serta karya yang menghina, mengecam agama dan nabi-nabi, baik Islam atau bukan Islam,” katanya.