Namun begitu, adakah benar Dr. Mahathir merupakan seorang yang benar-benar berani? Berikut disenaraikan lima tindakan yang patut dilakukan Dr. Mahathir untuk PRU-14 jika bekas Perdana Menteri itu benar-benar hendak membuktikan beliau merupakan seorang ahli politik yang berani:

1) Bertanding di Parlimen Kubang Pasu

-------------------------------------

Pengumuman Dr. Mahathir bertanding di Langkawi menimbulkan persoalan utama kerana beliau merupakan wakil rakyat Parlimen Kubang Pasu selama tujuh penggal dari 1974 sehingga 2004. Kalau diikutkan kepada logik akal semestinya pengundi Kubang Pasu ‘merindui’ kelibat Dr. Mahathir tetapi nampaknya beliau tidak mempunyai keberanian, Adakah beliau takut berhadapan dengan pengundi-pengundi yang pernah diwakilinya?

2) Bertanding di Parlimen Putrajaya

-----------------------------------

Jika Dr. Mahathir benar-benar berani, mengapa beliau tidak memilih Parlimen Putrajaya sedangkan seluruh negara malah mungkin seluruh dunia mengetahui bahawa pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu merupakan idea asalnya. Adakah beliau sudah tidak yakin dengan keupayaan sendiri ‘memancing’ penjawat awam untuk mengundinya?

3) Mengakui ‘kehilangan’ sehingga AS$100 bilion

-----------------------------------------------

Dr. Mahathir barangkali mungkin terlupa dakwaan-dakwaan kes penyalahgunaan kuasa sehingga mengakibatkan ‘kehilangan’ sehingga AS$100 bilion (RM388.75 bilion) seperti yang dibangkitkan penulis buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times iaitu Barry Wain. Beranikah Mahathir untuk menjawab dengan teliti setiap dakwaan-dakwaan dikemukakan?

4) Mengakui dan menarik balik dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim

-----------------------------------------------------------------------

Umum mengetahui persengketaan besar-besaran antara Dr. Mahathir dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula dengan tuduhan-tuduhan melibatkan masalah moral bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Jika Dr. Mahathir berani, kenapakah beliau meminggirkan perkara tersebut pada masa kini dan masih tidak menarik balik dakwaan-dakwaan terhadap peribadi Anwar berkenaan?

5) Menjelaskan kekayaan anak-anaknya

------------------------------------

Hasrat Dr. Mahathir kononnya untuk memulihkan ekonomi negara dengan menghalang aktiviti rasuah sememangnya tidak selari dengan isu berkaitan kekayaan luar biasa yang dimiliki anak-anaknya sehinggakan ada yang bergelar antara 50 jutawan terkaya negara, malah ada yang memiliki sehingga kira-kira 488 syarikat. Adakah Dr. Mahathir berani mengakui beliau tidak campur tangan urusan kerajaan bagi ‘menolong’ anak-anaknya menjadi kaya-raya? - UTUSAN ONLINE