Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shahidan Kassim secara sinis mempersoalkan, adakah parti itu mampu berdiri dengan sendiri jika keluar daripada BN atau beralih untuk menyokong DAP.

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Arau, berbanding parti-parti di dalam kerajaan ketika ini termasuk DAP, BN dan Pas lebih sederhana dalam berpolitik.

“Jika MCA takutkan sifat ‘ekstremis’ Pas, bagaimana pula dengan sikap DAP itu. Saya yakin UMNO mampu ‘melembutkan sikap ‘ekstremis’ Pas,” soal beliau ketika ditemui dalam satu majlis di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendirian MCA yang mengingatkan UMNO bahawa ikatan BN akan ‘terlerai’ sekiranya parti Melayu terbesar itu menjalin kerjasama dengan Pas dalam urusan agama dan bangsa yang ekstremis.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa BN dibentuk melalui gabungan parti yang mencerminkan kesederhanaan pelbagai kaum secara inklusif.

Kata beliau, namun sekiranya konsep itu dikhianati UMNO, maka dengan sendirinya BN terbubar dan tidak akan wujud lagi.

Shahidan seterusnya menegaskan, kerjasama UMNO dan Pas perlu diteruskan demi penyatuan ummah dan rakyat.

Katanya, beliau sendiri di negeri ini menggunakan pendekatan bersama-sama Pas untuk memajukan dan menyatupadukan rakyat. - UTUSAN ONLINE