Menurut Pengerusinya, Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim, keadaan itu lebih buruk apabila kumpulan tersebut bertindak untuk memanipulasi nilai tender berkenaan sekali gus menyebabkan kerajaan rugi apabila pelaksanaan projek dilakukan.

“Perkara ini merupakan perancangan tidak sihat dan memberi kesan negatif kepada kerajaan jika terus dibiarkan. Kerajaan perlu mempunyai mekanisme baharu dalam membuat penilaian terhadap sesuatu tender secara ‘cut-off’.

“GBC Wibawa percaya kerajaan akan melaksanakan reformasi dengan kadar segera dan sedia memberi bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Md. Nasir berkata, kontraktor bumiputera khususnya dalam kelas G7 mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak pernah meminggirkan mereka.

Katanya, hal ini kerana kontraktor bumiputera terus diberikan tempat dan keutamaan dalam perolehan projek-projek kerajaan. - UTUSAN ONLINE