Namun, bekas Menteri Besar selama tiga penggal itu berkata, beliau masih perlu berhati-hati dan bekerja lebih kuat untuk menang memandangkan situasi hari ini adalah berlainan apabila turun sebagai pembangkang.

“Peluang ada di mana-mana pun. Yang penting ialah bagaimana kita menggunakan peluang itu daripada sedikit kepada banyak.

“Saya akan berhadapan de­ngan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akan menggunakan segala kuasa dan kemudahan untuk memastikan saya dapat dikalahkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau kali pertama pada pilihan raya umum (PRU) 2004 dengan majoriti 8,031 undi dan mengekalkan kejayaan itu pada PRU 2008 (7,739 undi) dan PRU 2013 (10,126 undi).

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dimenangi Mohamad secara tanpa bertanding, adalah terbatal dan tidak sah.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mene­tapkan 13 April ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Rantau.

Mohamad memberitahu, beliau juga telah bersedia berhadapan dengan isu-isu yang akan dibangkitkan terhadapnya oleh parti lawan sepanjang kempen pilihan raya itu.

“Saya ada dengar tetapi saya tidak tahu apa yang hendak dibangkitkan. Saya ‘ok’ kerana saya tidak buat apa-apa yang salah,” ujarnya.

Menurutnya, selama ini, beliau hanya bekerja untuk rakyat di negeri ini dan sepanjang tempoh 14 tahun sudah tentu berlaku kesilapan di sana sini atau membuat keputusan yang tidak memberi kesan seperti diharapkan.

“Hendak keluar apa-apa isu pun saya tidak kisah kerana yang penting saya buat kerja tanpa memperoleh faedah untuk diri sendiri atau mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.