Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, biarpun ramai yang mencadangkan nama bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan namun beliau merasakan adalah lebih baik parti itu diwakili anak tempatan.

"Saya ada sedikit pengalaman politik di Negeri Sembilan. Port Dickson atau dahulunya Teluk Kemang lebih baik diwakili calon tempatan. Walaupun sukar untuk BN menang, lebih baik calon tempatan.

"Orang yang paling sesuai bagi saya ialah Abdul Rahman. Masih (berusia) 40-an. Seorang peguam lulusan London School of Economics. ADUN dua penggal dengan prestasi yang baik," katanya menerusi akaun Twitternya di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Danyal Balagopal menang dengan majoriti 17,110 undi menewaskan calon BN, Datuk Mogan Velayatham yang memperoleh 18,515 undi dan Mahfuz Roslan dari Pas (6,594).

Dalam pada itu, Khairy sempat berseloroh dengan menyatakan kebanggaannya jika ada Perdana Menteri dari Negeri Sembilan.

"Den banggo waghih kito jadi Podano Montoghi nanti," ujarnya. - UTUSAN ONLINE