Abdul Rahim yang merupakan Ketua Menteri Melaka keenam berkata, beliau mahu bersemuka dengan Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Datuk Seri Idris Haron bagi menjelaskan hala tuju parti Bersatu demi membela nasib kaum Melayu dan agama Islam di negara ini.

“Saya mahu jumpa Tan Sri (Mohd.) Ali dan Datuk (Seri) Idris untuk bermuzakarah mengenai perkara ini. Insya-Allah dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan sendiri borang keahlian Bersatu kepada Ketua Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Pada majlis sama, Abdul Rahim turut menyerahkan lebih 100 borang keahlian Bersatu kepada Mohd. Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkenaan.

Abdul Rahim menjelaskan beliau turut mengambil inisiatif melaksanakan ‘Hijrah Politik’ ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai perkembangan isu semasa di negara ini serta pandangannya mengenai Bersatu.

Beliau yang merupakan ahli UMNO sejak lebih 40 tahun ketika ditanya mengenai faktor meninggalkan parti keramat itu memberi alasan, perjuangan UMNO ketika ini sudah jauh terpesong.

Jelasnya, UMNO tidak lagi seperti zaman pemerintahan Datuk Onn Jaafar sehingga Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilihat ikhlas berjuang membela nasib bangsa selain menjulang martabat Islam.

“Ramai pemimpin UMNO kini terpalit dengan pelbagai skandal rasuah hingga merebak ke penjawat awam namun langsung tiada usaha mencegah kegiatan itu sehingga menjadi barah yang sukar diubati lagi.

“Jelas, ia menunjukkan bahawa UMNO bukan lagi pembela orang Melayu tetapi lebih kepada mempertahankan pemimpin yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa,” tegasnya.