Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan selepas sesi pencalonan ditutup kelmarin dengan turut menyaksikan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selain jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap juga masih dipegang penyandang masing-masing apabila mereka tidak dicabar oleh calon lain.

Menurut beliau, bagi jawatan Naib Presiden pula, terdapat dua pencalonan baharu yang akan ditandingi Takiyuddin sendiri dan Ketua Penerangan Pas Pusat ketika ini, Nasrudin Hassan selain tiga penyandangnya iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd. Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

“40 lagi pencalonan untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat akan dipilih para perwakilan untuk mengisi 18 tempat. Calon-calon yang tersenarai itu dikehendaki menyatakan penerimaan pencalonan tersebut sebelum 17 April ini.

“Peraturan pemilihan pada kali ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 pencalonan untuk layak disenaraikan sebagai calon dalam pemilihan pada Muktamar Pas kali ini berbanding dengan dua pencalonan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada pemilihan Pas dua tahun lalu, Abdul Hadi buat pertama kalinya dicabar oleh bekas Naib Presiden, Ahmad Awang  setelah beliau menjadi Presiden selama 13 tahun. Namun, Ahmad tewas dengan 233 undi berbanding Abdul Hadi sebanyak 928 undi.

Takiyuddin berkata, Muktamar Pas Pusat Ke-63 yang akan diadakan di Kedah pada 29 April hingga 1 Mei ini akan memilih barisan kepimpinan yang baharu bagi sesi 2017/2019 untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).  

Sebelum itu, katanya, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat akan mengadakan Muktamar masing-masing mulai 27 April. - UTUSAN ONLINE