Abdul Hadi berkata, keputusan itu juga dibuat kerana tidak mahu membuang lebih banyak masa di mahkamah bagi menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan pada 21 April 2017 itu.

“Peguam pun nasihatkan supaya kita tarik balik saman ber­kenaan kerana kita hendak buat kerja lain.

“Apa lagi undang-undang Britain dan di sini lain. Di Bri­tain, kes ini dibawa atas nama peribadi saya sebagai Presiden Pas dan tidak boleh atas nama parti sedangkan tuduhan mereka (Sarawak Report) kepada parti. Jadi itu dah berlaku kelainan.

“Apabila berlaku kelainan ini, kita melihat kita sudah menang moral dalam pilihan raya, jadi sudah cukup,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Rusila dekat sini hari ini sejurus selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila yang terletak bersebelahan.

Sabtu lalu, Abdul Hadi memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman beliau terhadap Rewcastle-Brown.

Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman dalam kenyataannya memberitahu, keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London (High Court of Justice, Queen’s Bench Division).

Ketetapan itu dilakukan setelah Abdul Hadi meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan daripada semua aspek dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

Tindakan Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London itu susulan laporan Sarawak Report yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin Pas untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).