MAHATHIR MOHAMAD
MAHATHIR MOHAMAD

Calon PKR Parlimen Langkawi itu mendakwa, sikap Abdul Hadi yang dilihat sering menipu orang ramai merupakan sebab beliau perlu mempertahankan diri me­ngenai isu Memali melalui perumpamaan tersebut.

“Saya tidak mahu kata-kata apa mengenai Memali tetapi Hadi suka menipu seperti dia kata saya terlibat, (kemudian) dia kata Lim Kit Siang (Penasihat DAP) mempergunakan saya dan selepas itu dia sebut Pas tidak pernah menyebut UMNO sebagai kafir.

“Sedangkan seluruh dunia tahu tetapi dia kata tidak, jadi saya kena tegaskan dia me­nipu. Bila orang memperkatakan sesuatu yang tidak benar maka saya terpaksa bersuara,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepemim­pinan Perdana di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir men­dakwa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai ‘mati katak’ dan bukannya mati syahid ketika berceramah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, 'Amanat Haji Hadi' pada tahun 1981 yang menjadi punca berlakunya peristiwa hitam itu de­ngan membunuh pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai kafir.

Sementara itu, Dr. Mahathir mendakwa Pihak Berkuasa Pe­nerbangan Awam Malaysia (CA­AM) telah mengeluarkan ke­nyataan tidak benar berhubung unsur sa­botaj terhadap pesawat yang dinaikinya ke Langkawi sehari sebelum hari penamaan calon.

Menurut beliau, CAAM terpaksa mengeluarkan tersebut kerana perlu tunduk terhadap kerajaan pada hari ini.

“Saya akan menjadi orang terawal didakwa mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 kerana mengeluarkan berita palsu dengan mengatakan pesawat telah rosak. Sedangkan saya mengetahui apa terjadi di sebaliknya,” katanya.