Beliau yang kesal dengan tindakan itu berkata, DAP sememangnya tidak mempunyai adab dalam menghormati Islam dan bertindak seperti memusuhi agama Islam.

Tegas Ahli Parlimen Marang itu, keadaan itu berbeza dengan parti bukan Islam lain seperti MCA, Gerakan dan MIC yang masih mempunyai adab dalam menghormati agama lain khususnya Islam.

“Kami rasa kesal kerana DAP menunjukkan sikap anti-Islam. Terang-terang saya sebut di sini, DAP anti-Islam. Mereka nak memusuhi orang Islam. Tidak beradab terhadap orang Islam.

“MCA, Gerakan, MIC dan banyak parti bukan Islam lain mungkin tidak setuju dengan usul itu tetapi mereka ada adab. Tetapi DAP tidak tunjuk adab. Dia melenting dan terus menentang apa yang berkaitan orang Islam, sedangkan tiada kaitan pun dengan dia,” katanya yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Rusila dekat sini hari ini.

Bagaimanapun bercakap da­lam sidang akhbar semalam di Dewan Rakyat, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, parti itu bukanlah anti-Islam atau anti-syariah, sebaliknya mempertahankan prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.

Guan Eng berhujah, walaupun undang-undang yang dibentang oleh Abdul Hadi hanya melibatkan Islam, tetapi pada pandangan DAP tidak boleh wujud dua sistem berbeza untuk orang Islam dan bukan Islam.

Mengulas lanjut pendirian DAP itu, Abdul Hadi berkata, beliau juga kesal dengan PAN yang dipergunakan DAP sehinggakan orang Islam sendiri sanggup melanggar sempadan agama mereka demi kepentingan politik.

“Kita tak akan tunduk dan kita telah bincang dengan DAP beberapa kali dalam isu undang-undang jenayah syariah. Beberapa tahun lalu kita juga telah buat keputusan dan kita bersetuju,” ujarnya.

Beliau turut menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya tindakan membentangkan usul rang undang-undang berkenaan sebagai gimik politik Pas menjelang pilihan raya kecil bagi Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar tidak lama lagi.

“Bukan gimik politik, tapi ini menunjukkan keterbukaan kita pada orang bukan Islam dan kita perlu beri penjelasan, tiada kaitan dengan pilihan raya. Sebenarnya gimik politik DAP, bukan kita,” jelasnya.

Abdul Hadi berkata, usul berkaitan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah itu bertujuan memantapkan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah yang ketika ini lebih rendah berbanding Mahkamah Majistret sedangkan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Islam merupakan agama rasmi negara dan sepatutnya undang-undang syariah dimartabatkan.

“Saya nak sebut lagi di sini, bahawa dalam titah Yang di-Pertuan Agong dalam perasmian Dewan Rakyat baru-baru ini baginda menyebut supaya menaikkan taraf mahkamah syariah,” jelas beliau.