Menurutnya, tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad itu merupakan gimik murahan dan satu perkara yang tidak logik untuk dilaksanakan.

Abdul Aziz sebaliknya mencabar Saarani supaya menunggu sehingga habis Persidangan Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan berakhir esok sama ada berlaku atau tidak usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

"Saya rasa tuduhan ini satu cerita kartun. Kalau dia tak sabar, dia (Saarani) tunggu sampai habis sidang DUN. Dia tuduh saya merancang jatuhkan Menteri Besar melalui undi tidak percaya, jadi tunggulah sampai habis. Kalau sampai lusa masih Menteri Besar yang sama, maka dia bohonglah," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, dakwaan untuk menjatuhkan Menteri Besar menerusi undi tidak percaya mustahil dibuat.

Menurutnya, secara matematiknya jika mahu menjatuhkan Menteri Besar melalui undi tidak percaya perlukan 30 sokongan ahli dewan sedangkan DAP hanya mempunyai 18 kerusi DUN.

"Dia (Saarani) kata ada lima (sokongan ADUN UMNO), maknanya baru ada 23 sokongan. Saya seorang tak boleh buat. Perkara ini saya sendiri tak faham.

"Dia ingat senang kah undi tak percaya. Kalau Pakatan Harapan tak ada resolusi, tak ada ketetapan untuk 'remove' Menteri Besar, benda tu tak boleh jadi, tak boleh buat," katanya.

Abdul Aziz juga menafikan tuduhan Saarani bahawa beliau mengadakan perjumpaan dengan beberapa ADUN UMNO kononnya untuk memujuk mereka supaya menyokong usul undi tidak percaya.

"Saya berjumpa dengan ramai orang, soal jumpa ni dengan sesiapa pun saya boleh jumpa. Kalau nak bangkitkan usul undi tidak percaya bukan jumpa di 'car park', Old Town. Ini satu perkara yang tak logik," katanya.

Abdul Aziz menambah, beliau telah berjumpa dengan Ahmad Faizal empat bulan lalu dan memberi jaminan tidak akan menjatuhkan beliau.

"Saya katakan, jika beliau jatuh maka semua kami juga akan jatuh," katanya. - UTUSAN ONLINE