Eksekutif Pemasaran, Jualan Promosi dan Khidmat Pelanggan Kumpulan Utusan, Noor Salwa Masri berkata, dengan hanya RM10, pelanggan dapat menga­badikan memori indah menggunakan kepala akhbar (masthead) Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

“Pempamer juga boleh menggunakan tawaran ini untuk mempromosikan produk serta barangan mereka dengan menggunakan gambar yang diambil di studio kami pada harga cukup istimewa,” katanya ketika ditemui di gerai jualan Kumpulan Utusan bernombor A153, A154 dan A155 di sini.

Tambah beliau, sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini, pihaknya menawarkan diskaun majalah baharu sebanyak 25 peratus manakala bagi langganan pula diskaun 25 hingga 30 peratus diberikan untuk tempoh enam bulan sehingga setahun.

“Terdapat banyak tawaran runtuh termasuk buku-buku kompilasi yang dijual dengan harga serendah RM5 untuk buku kategori lawak, keagamaan, resipi masakan dan bermacam-macam lagi.

“Untuk pembelian barangan di gerai kami bernilai RM50 ke atas, pelanggan turut berpeluang mendapat hadiah-hadiah cabutan bertuah,” katanya.

Menurut Noor Salwa, langganan majalah untuk tahun 2016 akan mendapat diskaun sebanyak 30 peratus dengan kos penghantaran ditanggung.

“Mereka yang melanggan majalah Wanita, Saji, iSihat dan Harmoni kita akan berikan ha­diah percuma berupa barangan berkualiti dari Perancis dan Switzerland bernilai RM84 hingga RM159,” katanya.