Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penghinaan ini tidak sepatutnya dilakukan kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada pemimpin negara.

"Setiap orang mempunyai maruah dan kita tidak sepatutnya menghina antara satu sama lain.

"Kalau ada kesilapan kita tegur dengan cara penuh berhemah dan bertata susila," katanya ketika ditemui selepas program World #QuranHour (WQH) di Masjid Al- Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Menerusi catatan blog peribadinya, Kadir mendakwa Sultan Muhammad V membelanjakan kira-kira RM257 juta dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.

Kadir berkata, jumlah yang dibelanjakan untuk perbelanjaan Agong menunjukkan raja Melayu tidak memerlukan jaminan kedudukan mereka tidak terjejas. - UTUSAN ONLINE