Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebaliknya wakil rakyat pembangkang hanya mahu memiliki kerusi sebagai wakil rakyat.

Kata Tajuddin, pembangkang bertindak demikian kerana sedar berlakunya penolakan dalam kalangan pengundi akibat mereka tidak membuat kerja di kawasan masing-masing.

“Itu pembangkang bukan macam kita (wakil rakyat Barisan Nasional). Kita sebagai wakil rak­yat kita hendak menjaga, hendak membela orang kawasan kita. Bila kita jadi wakil rakyat kita nak berkhid­mat untuk pengundi di situ.

“Pembangkang pula matlamat dia hanya nak cari kerusi, jadi bila dia tengok kerusi (sedia ada) sudah goyang, jadi dia lari,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah di Seberang Perak di sini hari ini.

Beliau mengulas khabar angin beberapa kepemimpinan tinggi Pakatan Harapan yang diketuai DAP akan berpindah kawasan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Antaranya Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden yang juga anak­nya, Nurul Izzah Anwar serta Ahli Jawatankuasa Pusat PAN, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dikatakan akan perpindah ke kawasan lain.

Tambah Tajuddin, sikap sebenar pembangkang itu perlu dinilai secara bijak oleh rakyat bagi memastikan mereka membuat pilihan yang terbaik bagi memilih wakil rakyat masing-masing kelak.

Justeru, katanya, rakyat perlu memberikan mandat kepada BN pada PRU-14 akan datang yang ternyata menjalankan tanggungjawab sepenuhnya untuk kepenti­ngan rakyat dan memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Kita (wakil rakyat BN) pula tidak akan lari. Sebaliknya, kita akan terus berjuang. Kita tak cabut, kalau Pasir Salak, Pasir Salaklah, tidak akan pergi mana-mana,” katanya.