Demikianlah rayuan Wakil UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir kepada pemimpin-pe­mimpin parti itu ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Sambil menyatakan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi me­nyayangi semua barisan kepemimpinan parti, Musa berkata, mereka perlu kembali bersatu dan bekerjasama bagi memperkukuhkan UMNO.

“Kasihanlah kami kat bawah. Kami bekerja bermati-matian untuk parti. Dulu pemimpin-pemimpin yang kat atas ni juga yang suruh kami bersatu, sekarang depa (mereka) berkelahi sesama sendiri. Sudah-sudahlah... tok sah (jangan) dok bergaduh lagi,” katanya.

Musa juga mendapat tepukan gemuruh apabila secara terbuka meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamatkan perselisihan sesama mereka.

“Kita nak minta pada hari terakhir perhimpunan ini, Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Pre­siden bersalaman serta berpelukan sebagai tanda bermaaf-maafan. Saya yakin Presiden tidak ada masalah sebab beliau pun dah kata walaupun hatinya terluka dia sedia memaafkan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian apabila dengan penuh hormat meminta bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya berhenti ‘menyerang’ Najib melalui isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion.

“Saya merayu kepada Tun hentikanlah siri jelajahnya untuk bercakap keburukan tentang UMNO, kalau geram sangat tak payah bercakap, sebab kami sayangkan Tun, nyamuk ketit (gigit) Tun pun kami tampar sampai hancur, janganlah mengata kami kerana kalau mengata Presiden bererti mengata kepada kami juga (ahli UMNO).

“Kita hendak buat kerja untuk pilihan raya jadi janganlah balun (hentam) Presiden tentang 1MDB lagi. Presiden pun sudah jelaskan tentang perkara itu dan apa lagi yang tidak puas hati.

“Kepada Timbalan Presiden, ka­mi sayang beliau, tolonglah bantu Presiden, tadi saya meleleh (mengalir) air mata apabila Presiden berucap kata ‘bantulah saya’,” katanya.

Musa ketika penghujung perbahasannya turut meminta semua perwakilan yang berada dalam Dewan Merdeka untuk sama-sama bangun dan berikrar untuk bersama-sama membantu parti.

“Kita berikrar hari ini akan setia kepada Presiden, akan balik beker­ja kuat pastikan PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) BN (Barisan Nasional) menang dengan cemerlang, kami minta yang atas (pemimpin) hentikan sengketa, perpaduan le­bih penting bagi kami.”