Namun, keputusan 1-3 itu bukan alasan bagi BN untuk berhenti daripada memperjuangkan kepentingan dan kebajikan rakyat. 

Dikemudi Mohd. Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh, tiada istilah berputus asa dalam usaha membantu rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik yang dilaksanakan secara berterusan serta sistematik. 

Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN menemubual Mohd. Sharkar yang juga dikenali sebagai ‘Temerloh Man’ tentang komitmen berterusan beliau memajukan Temerloh, membantu masyarakat dan memastikan kemenangan BN pada PRU-14.
 

UTUSAN: PRU-13 menyaksikan BN hanya menang satu kerusi iaitu DUN Lanchang di Temerloh. Apakah pendekatan BN dalam melakukan gerak kerja untuk berdepan PRU-14?

MOHD. SHARKAR: Walaupun hanya menang di DUN Lanchang tetapi gerak kerja kita untuk membantu segenap lapisan masyarakat dilaksanakan secara berterusan di seluruh Parlimen Temerloh bersama-sama dengan parti komponen BN lain. Saya hendak maklumkan bahawa kita tidak menggunakan jabatan atau agensi kerajaan untuk kepentingan politik kerana bantuan diberikan tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana pihak.

Selepas hampir lima tahun, ramai penduduk yang menyatakan rasa kecewa terhadap Ahli Parlimen Temerloh yang dilihat jarang turun padang?

MOHD. SHARKAR: Bagi UMNO, kita mempunyai azam yang mana kita hendak me­rampas kembali kerusi Parlimen Temerloh. Kita tidak mengambil kira pandangan orang dan tidak meletakkan kelemahan orang lain sebagai kekuatan atau sandaran kepada kekuatan kita. Kita hendak terus bekerja, kemudian serahkan kepada pengundi untuk menilai siapakah yang terbaik untuk menjadi wakil ahli Parlimen pada PRU-14.

 

Bagaimana Datuk Seri melihat peluang BN untuk merampas kembali Parlimen Temerloh dan DUN Semantan serta Mentakab?

MOHD. SHARKAR: Selepas pemilihan bahagian, apabila pasukan baharu dipilih dan saya diberi kepercayaan untuk menerajui UMNO Bahagian Temerloh, kita menyusun gerak kerja dan memberi fokus kepada membantu rakyat tanpa mengira kaum serta fahaman politik. Kita mempunyai satu hati, satu arah dan matlamat, seterusnya bergerak sebagai satu pasukan yang secara keseluruhannya saya dibantu oleh semua ahli jawatankuasa bahagian terutama Biro Politik untuk kita meneruskan agenda merampas semula kerusi Parlimen Temerloh dan dua DUN yang kita tewas.

Apakah perancangan untuk terus membantu membangunkan Temerloh?

MOHD. SHARKAR: Kita telah menyelesaikan lonjakan pertama apabila meletakkan jenama Temerloh sebagai ‘bandar ikan patin’. Kemudian nama Temerloh dipromosikan sebagai ‘bandar titik tengah Semenanjung’ selain dari segi pembangunan ekonomi dan sosial seperti pembinaan masjid baharu, pembukaan ranca­ngan tanah kelompok Felcra serta bantuan pendidikan. Jika diberi peluang, kita akan melancarkan lonjakan kedua iaitu Temerloh Muafakat atau Demi Temerloh.

Harapan dan pesanan Datuk Seri?

MOHD. SHARKAR: Parlimen Temerloh dan DUN Mentakab selama lima tahun dikuasai pembangkang, manakala DUN Kuala Semantan selama 10 tahun. Saya kira jangka masa ini cukup untuk pengundi Temerloh menilai kembali dan memberi peluang kepada kami. Kelebihan pasukan yang kami ada ini ialah kami semuanya dari Temerloh. Saya ada rumah di Temerloh dan saya dilahirkan di sini. Kalau emak saya sakit walaupun saya berada di Kuala Lumpur atau di Kuantan, saya pasti akan pulang ke sini sebab saya orang Temerloh, sebab itu orang panggil saya ‘Temerloh Man’.