Ramlee Marahaban

Calon BN bagi kerusi itu, Datuk Ramlee Marahaban berkata, beliau tidak sedikit pun gentar, malah akan menjadikan pertembungan dengan Mohd. Shafie yang dijangka mempertahankan kerusi itu sebagai misi hidup atau mati demi kemenangan BN.

“Secara pe­ribadi, sa­ya sudah bersedia, begitu juga dengan jentera parti. Saya mene­rima arahan pucuk ke­pe­mimpinan parti de­ngan hati terbuka, tidak ada jalan mudah untuk Wari­san, malah saya yakin BN akan menang lagi sebab itu sudah menjadi kerusi tradisi parti sejak dulu.

“Saya menghormati beliau sebagai bekas ketua tetapi selepas (Mohd. Shafie) berpaling tadah, fokus jentera sekarang adalah be­kerja keras meyakinkan rakyat untuk menewaskan Warisan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon BN Sabah di sini hari ini.

Ramli berkata, hakikatnya, selama lebih 20 tahun Mohd. Shafie memegang jawatan kerajaan di Semporna, rakyat di daerah tersebut tidak menerima manfaat pembangunan yang membuktikan kegagalannya dalam menunaikan mandat rakyat.

Sebaliknya kata beliau, sebaik sahaja Mohd. Shafie memilih untuk membelakangkan UMNO, ke­ra­jaan BN telah membina pelan pembangunan Semporna dalam tempoh dua tahun lalu dan kini proses itu telah pun bermula di situ demi kebaikan masyarakatnya.

“Sekarang pasar baharu sedang dibina di situ, kompleks sukan juga sedang dibina sebab ini ke­perluan rakyat yang tidak pernah ditunaikan oleh Mohd. Shafie.

“Saya juga sudah menyelesaikan masalah permohonan tanah adat yang dibuat penduduk Semporna, malah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini juga membawa rahmat kerana beliau telah menjanjikan projek pembangunan lebih banyak di Semporna,” katanya.