Sebaliknya, tegas Presiden UMNO itu, beliau akan terus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya bagi memimpin UMNO mara menuju kemenangan.

“Biar gunung menghalang, meski hebat apapun tantangan yang tiba, saya tidak boleh sesekali menyerah kalah,’’ tegasnya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Najib berkata, beliau tidak boleh bersikap pengecut dengan men­yerahkan baton kepemimpinan kepada orang lain dalam keadaan parti tidak dipulihkan kembali se­perti sediakala.

“Keadaan parti dan jemaah ini hendaklah kembali dipulihkan se­perti sediakala, sebabnya jika tidak seperti yang dinasihatkan oleh para alim ulama, saya tidak boleh menjadi pengecut, bahkan itu bacul namanya,’’ katanya.

Perdana Menteri yang menerima tepukan gemuruh setiap kali mempertegaskan pendiriannya dalam berhadapan sesuatu isu mengingatkan anggota UMNO tentang kepen­tingan mempunyai pasukan yang taat dan setia kepada barisan kepemimpinan untuk melayari ujian pada masa yang tenang dan getir.

“Saya,... Najib Razak, mahukan terdiri dan terbangunnya sepasukan Wanita, Pemuda dan Puteri yang taat lagi setia,... bantulah saya... memacu Malaysia menuju puncak hingga ke mercunya.

“Biar mati berkalang tanah, perjuangan UMNO tidak akan dibiarkan musnah. Gantungkanlah azam dan semangat yang tinggi, ... se­tinggi bintang di langit, biarpun ada yang berpaling tadah, ... biar berkali-kali kita ditolak supaya rebah, ... tak kan berundur, tak kan menyerah,’’ katanya.

Najib yang akan genap 40 tahun dalam UMNO Mac tahun depan secara tegas berikrar akan terus memimpin perjuangan parti itu bagi membela orang Melayu dan bumiputera.

“Malang, ada sesetengah pihak yang telah dan sedang menebuk lubang bahtera perjuangan ini dengan tujuan menenggelam lawannya.

“Sayang seribu kali saya, mereka terlupa bahawa tindakan khianat sedemikian, bukan setakat boleh melemaskan pihak lawannya akan tetapi akhirnya yang karam dan tenggelam, adalah seluruh bangsa keturunan dan tamadun kita ini,’’ katanya.