Wartawan Utusan Malaysia, ASLIZA MUSA menemu bual Manogaran tentang langkah seterusnya selepas tewas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands semalam.

UTUSAN: BAGAIMANA anda menerima kekalahan untuk kali ketiga di kerusi Parlimen Cameron Highlands?

M. MANOGARAN
M. MANOGARAN 

MANOGARAN: Saya terima kekalahan ini dan tetap positif. Saya akan terus be­kerja dan berkhid­mat kepada ma­syarakat bagi kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan Jelai selain memberi komitmen sepenuhnya untuk bekerjasama de­ngan kerajaan Pusat dalam aspek pembangunan seperti yang kita janjikan sebelum ini.

BAGAIMANA anda melihat kejayaan BN dalam me­ngekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands?

BN memainkan isu kaum, namun saya tidak menyalahkan pengundi malah ia sebenarnya menjadikan kami lebih kuat kerana sebagai warganegara Malaysia, kita melangkaui bangsa dan agama. Kita adalah warga negara ini.

BAGAIMANA anda melihat penerimaan Orang Asli sepanjang kempen PRK Cameron Highlands berlangsung?

Walaupun kita kalah, saya melihat terdapat perkara positif di mana kawasan selesa untuk BN terutama di Jelai berjaya ditembusi dan saya yakin PH akan buat lebih baik lagi pada masa akan datang.

APAKAH yang ingin anda beri­ta­hu pe­ngundi di Ca­meron Highlands?

Terima kasih kepada pengundi pada PRK Came­ron Highlands. Saya gembira de­ngan peratusan mengundi di beberapa kawasan Orang Asli termasuk di Betau, Lenjang, Senderut dan Lanai. Kita telah membuat yang terbaik.

APAKAH pesanan anda untuk Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor?

Tahniah kepada Tuan Ramli di atas pencapaiannya. Saya berharap beliau akan menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen di sini dengan baik sekali gus mewakili semua penduduk di sini.