Beliau berkata, sebelum ini, Ismail tidak pernah berbincang atau memaklumkan kepadanya mengenai hasrat untuk keluar UMNO dan menyertai PPBM.

“Saya hanya mengetahui Ismail keluar daripada parti dan bakal menyertai PPBM setelah membaca berita mengenainya di media-media massa.

“Saya kini berada di hospital di Kuala Lumpur dan tidak dengar apa-apa berita atau maklumat mengenai perkara itu sebelum ini.

“Pada masa ini, saya hanya ingin menumpukan kepada sesi pemulihan kesihatan dan akan berada di hospital untuk tempoh yang lama sehingga benar-benar pulih,” katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.

Semalam Ismail yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan parti.

Serentak dengan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu juga memaklumkan bakal menyertai PPBM dalam tempoh terdekat.

Untuk rekod, Ismail mula menyertai UMNO sejak 30 tahun lalu dan pernah menjawat beberapa jawatan penting iaitu sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau.- UTUSAN ONLINE