Katanya, meskipun berbeza fahaman politik, namun membuat tuduhan berlebihan terhadap Pas seperti Taliban dan sebagainya adalah tidak wajar.

Ujarnya, kerjasama Pas dan UMNO adalah berkait politik semata-mata yang tidak membabitkan sebarang unsur ekstremisme malah di Malaysia tidak sampai ke tahap itu.

"Kena ingat, saya datang daripada Pas dan hasil acuan Pas. Saya ada penghormatan tinggi dengan apa yang Pas buat. Orang tuduh Pas ekstrem itu tidak kenalah.... Kalau hendak komen pasal Pas, jangan semua kita 'cat' dengan warna yang sama.

"Dalam kalangan pemimpin Pas, mungkin ada yang semangat sikit, mungkin ada yang lebih rasional dan tak semua buruk atau semua baik. Tak adillah katakan Pas semuanya tidak elok," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jom Sambung Belajar 2019 di Kolej Vokasional di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan perkauman membabitkan kerjasama UMNO-Pas.

Antaranya seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggambarkan kerjasama UMNO-Pas sebagai ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Islam sebelum menarik balik frasa ‘pengisytiharan perang’ itu.

Ia diikuti Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang menyifatkan kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan.

Semalam, seorang lagi pemimpin DAP iaitu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan kes pembunuhan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama antara UMNO dan Pas sebelum bertindak menarik balik kenyataan.

Sementara itu, Wan Saiful melahirkan rasa sedih dan simpati dengan insiden serangan tembakan rambang di masjid di New Zealand semalam.- UTUSAN ONLINE