Ujarnya, keutamaan beliau dan ahli cabang berkenaan adalah untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK pada 13 April nanti.

"Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah buat keputusan, saya terima dan akur. PKR Cabang Rembau menyokong dan akan bertungkus lumus memastikan kemenangan kita dengan majoriti besar.

"Yang penting sekarang adalah menang kerana ia adalah maruah parti. PH kalah dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih dan ia bawa kesan tidak baik. Kita akan berusaha beri kemenangan demi untuk Anwar dan parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tanggam antara individu yang dicadangkan untuk bertanding kerusi DUN Rantau sebelum ini tidak bersetuju Streram dicalonkan kerana menyifatkannya bukan anak tempatan.

Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau semalam diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi DUN tersebut.

Ditanya mengenai peluang Streram untuk menang, Tanggam berkata, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkannya kepada pengundi untuk membuat keputusan.

Beliau turut menasihatkan ahli-ahli PKR Cabang Rembau yang tidak bersetuju dengan pemilihan Streram supaya menerima dengan hati terbuka keputusan yang telah dibuat parti. - UTUSAN ONLINE