NORLELA ARIFFIN
NORLELA ARIFFIN

Norlela berkata, ini kerana sekiranya Anwar terpilih menjadi Presiden, ia akan memudahkan laluan beliau menjadi Perdana Menteri seperti yang dirancang sebelum ini.

Katanya, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) , kesemua parti dalam Pakatan Harapan telah membuat perjanjian dan bersetuju Anwar akan menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang dipersetujui.

“Sekarang Anwar sudah bebas dan apa yang saya tahu, kita (ahli PKR) sokong beliau bertanding jawatan Presiden,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjurannya di sini hari ini.

Sebelum ini, PKR dikatakan berdepan dilema apabila wujud dua kem dalam parti itu apabila terdapat kumpulan yang mahukan Presiden PKR , Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan jawatan manakala satu pihak lagi mahu Anwar bertanding dan memimpin PKR.

Kewujudan dua kem berkenaan bagaimanapun hari ini dinafikan Wan Azizah sambil menegaskan parti itu bergerak sebagai satu pasukan selain menegaskan beliau mungkin akan mengekalkan jawatannya dalam parti.

Mengulas lanjut, Norlela berkata, sekiranya Anwar bertanding dan menang, ia seolah-olah memberi isyarat hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri direstui oleh ahli-ahli PKR.

Berhubung keadaan kesihatan Anwar yang dilaporkan kurang memuaskan, Norlela berkata, perkara itu bukan masalah besar.

“Ya, sekarang beliau berada di Turki kerana jalani pembedahan, saya rasa beliau mampu, lihat sahaja Tun Dr. Mahathir Mohamad pada usia 93 juga masih mampu memimpin,” katanya.

Pada masa sama Norlela menjelaskan, ahli PKR menghormati Wan Azizah yang berjaya memimpin PKR selama 20 tahun sehingga menjadi parti yang paling banyak menang kerusi dalam Pakatan Harapan pada PRU-14 dan seterusnya menjadi Kerajaan Persekutuan.

“Beliau sangat tenang dan fokus walaupun suaminya difitnah dan terpenjara lama sehingga 10 tahun, tidak ramai mampu bertahan sepertinya,” katanya.