CAMERON HIGHLANDS 15 Jan. - Pelbagai gerak kerja, janji dan isu rakyat diangkat serta cuba diselesaikan setiap calon yang mewakili parti masing-masing selepas empat hari berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Di sebalik kesungguhan itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pengundi masih sangsi dan tidak menaruh kepercayaan tinggi terhadap kredibiliti setiap calon untuk menjadi wakil rakyat.
Bagi Zaiti Bah Zainal, 31, dia hanya berharap calon yang berjaya memenangi PRK itu tidak

melupakan tanggungjawab termasuk memberi fokus kepada penyelesaian isu setempat.
“Jangan pandai tabur janji dan ‘panas’ ketika berkempen sahaja. Kami akan tuntut apa yang mereka perjuangkan jika menang.
“Ambil berat masalah yang berlaku. Jangan waktu berkempen, semua calon sanggup turun dan bersama-sama kami. Tetapi lepas pilihan raya, semua balik tinggalkan kawasan begitu sahaja,” katanya di sini hari.
Dalam pada itu, Rosli Bah Ali, 60, berkata, setiap pengundi perlu menilai sendiri calon yang bertanding dalam PRK kali ini.

“Jangan dengar atau percaya kepada cerita mengarut lebih-lebih lagi menerusi media sosial. Lihat kepada keikhlasan hati mereka.
“Jika tidak, kita kena tunggu beberapa tahun lagi untuk tukar,” ujarnya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor berkata, beliau menyedari masalah yang dihadapi masyarakat setempat dan akan memberi tumpuan kepada isu-isu berbangkit termasuk tanah runtuh, banjir, pencerobohan tanah haram dan tanah tol untuk pertanian.
“Saya tidak mahu berjanji benda yang tidak boleh buat, nanti orang marah, namun kita tahu kerajaan negeri adalah di bawah BN dan jika saya dipilih, saya boleh membantu (menyelesaikan masalah).
“Isu seperti tanah runtuh, pencerobohan dan pekerja asing, itu memang ada dalam agenda saya,” katanya.