Shahidan Kassim

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka yang tidak berpuas hati dengan menyatakan proses berjabat tangan itu hanya sekejap ‘sengaja cari pasal’ dan gemar bersangka buruk terhadap orang lain.

Kata beliau, perbuatan itu jelas amat dibenci Allah dan dikutuk oleh ajaran Islam yang menuntut semua umatnya bersatu-padu.

“Ada (ahli UMNO) yang kata kononnya tak jabat tangan lama (antara Muhyiddin dan Najib). Ini adalah (sikap) sangka buruk dan dibenci Islam serta sengaja cari pasal.

“Bagi saya, apabila Najib hulur tangan dan disambut Muhyiddin serta Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Naib Presiden UMNO), segala (perbalahan) selesai dan kita bermaaf-maafan. Dalam Islam pun tidak menuntut jabat tangan dalam tempoh tertentu atau disusuli dengan pelukan.

“Selain Najib, Muhyiddin dan Mohd. Shafie juga berjiwa besar apabila hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO. Perlu diingat, mereka (kedua-duanya) juga terluka apabila dipecat dan tidak dibenarkan berucap,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada sembilan buah keluarga mangsa kejadian ribut di Kampung Alor Redis di sini, hari ini.

Shahidan seterusnya meminta semua ahli UMNO mengambil iktibar terhadap pergolakan dalaman parti itu yang merupakan antara ujian terbesar Allah terhadap orang Melayu.