ANIFAH AMAN

ANIFAH AMAN: Dunia sentiasa melihat UMNO. Walaupun ada sedikit ‘duri dalam daging’, dunia meyakini Malaysia amat stabil. Kukuh UMNO, stabillah negara.

Apa maksud dunia masih melihat Malaysia?

Contohnya pada 16 Oktober 2014, Malaysia dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) selepas memperoleh 187 undi daripada 192 negara yang mengundi. Kerusi UNSC penting kerana memberikan negara anggotanya mencampuri dan bersuara dalam menangani isu berkait dengan keamanan dan keselamatan dunia - dari Syria ke Palestin, sekatan ter hadap Iran dan Korea Utara, kegiatan keganasan meliputi militan Negara Islam (IS) dan operasi pasukan pengaman PBB.

Walaupun kadangkala UMNO dicap mengutamakan ketuanan Melayu, Malaysia masih meraih pengiktirafan dunia, mengapa?

Pemimpin dunia masih merasakan Malaysia mempunyai pengaruh besar. Semua ini, sebahagian kredit perlu diberikan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Suara serta pandangan beliau di arena antarabangsa sentiasa dide­ngari.

Kepada pihak yang perkecilkan UMNO, apa kata Datuk Seri?

Persepsi cuba digambarkan oleh minoriti tertentu berbeza daripada tanggapan masyarakat antarabangsa terhadap UMNO.

Sebenarnya Malaysia telah pun mencipta nama di persada antarabangsa, malah para pemimpin dan tokoh-tokoh antarabangsa memandang tinggi kejayaan Malaysia. Hal ini amat ketara dengan keha­diran/penyertaan para pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat dan pemimpin-pemimpin dari India, China, Australia dan New Zealand ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia juga telah berjaya menganjurkan mesyuarat-mesyuarat baik di peringkat dua hala maupun pelbagai hala. Oleh yang demikian, adalah nyata kepimpinan Najib berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Contoh yang ketara ialah Kuala Lumpur memperoleh undi tertinggi dalam pengundiannya di UNESCO dan pandangan serta komen Malaysia sentiasa mendapat sanjungan. Ini termasuk penghormatan dan perhatian daripada masyarakat dunia dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti APEC.

Jadi, UMNO telah menyumbang kepada pencapaian negara?

Perdana Menteri Malaysia yang datang daripada seorang Presiden UMNO yang mewakili parti terbesar dalam Barisan Nasional memerlukan sokongan padu. Orang pertama yang mendukungnya tentu sekali timbalan beliau dalam parti, tetapi malangnya ini tidak berlaku.