Musa Sheikh Fadzir

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu berkongsi kebimbangan dan kegelisahan suara akar umbi yang dibawa beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

UTUSAN: Apa yang mendorong Datuk begitu lantang mendesak Presiden dan Timbalan Presiden kembali berdamai?

MUSA: Ini perkara serius sebab ahli-ahli di bawah mahu melihat mereka berbaik-baik semula. Tetapi apabila mereka dilihat se­perti mahu menghancurkan parti, tidak mahu berbaik-baik semula, maka kita yang akan nasihatkan mereka. Saya mahu tunjukkan ahli-ahli akar umbi ada kuasa. Kami yang meletakkan mereka di atas dan dengan kuasa kami juga yang akan menentukan berlakunya perubahan. Rakyat mahu melihat kepada gerakan ke arah perpa­duan. Kita yang di bawah ini tahu apa yang dimahukan rakyat.

Ahli-ahli bimbang dengan 
ke­adaan ini?

Sudah semestinya mereka sa­ngat bimbang. Saya juga bimbang sebab apabila kita balik ke cawangan atau bahagian, ahli-ahli akan bertanya, apa yang terjadi kepada Presiden dan Timbalan Presiden? Orang luar pun bercakap-cakap tentang hubungan mereka ketika ini. Dalam masa sama, kita pun berdepan dengan banyak isu. Kalau Presiden dan Timbalan Presiden bergerak asing, tidak bersama-sama menjaga parti, bagaimana kita mahu menjelaskan perkara ini kepada rakyat? Kita perlu menerima hakikat, sebagai manusia biasa, Presiden dan Timbalan Presiden parti ada kelemahan, mereka bukan malaikat. Jadi sekarang kita fokus untuk memperbetulkan mana yang tidak betul.

Datuk yakin isu ini dapat di­selesaikan?

Saya ingat sudah sampai masanya mereka berbaik-baik semula. Untuk menjadi pemimpin kena menjadi contoh yang baik. Ahli-ahli yang duduk di bawah ini mahu melihat perpaduan dan pe­nyatuan untuk kebaikan parti. Kita faham memang ada salah faham ketika ini. Timbalan Presiden ketika ini mungkin menyokong sehingga 90 peratus. Baki 10 peratus itu mungkin disebabkan ada isu-isu tertentu. Tetapi kita berharap Timbalan Presiden lihatlah kepada 90 peratus perkara yang beliau bersetuju, jangan diambil yang 10 peratus itu.

Datuk masih berharap Presiden dan Timbalan Presiden berpeluk di atas pentas sebagai simbolik berdamai?

Memang saya berharap perkara itu berlaku sebab ahli-ahli UMNO dan rakyat mahu melihat ada­nya perpaduan. Kalau esok tidak berlaku, maknanya pergeseran ini tidak ada ending. Sedangkan pilihan raya umum sudah terlalu dekat. Pengundi atas pagar pun tidak akan yakin dengan UMNO kalau perkara ini tidak selesai. Sebab itu saya berharap lepas balik daripada perhimpunan agung kali ini, isu pergeseran antara pemimpin parti ini sudah selesai.

Adakah isu ini memberi kesan kepada sokongan orang Melayu kepada UMNO?

Saya melihat di Pulau Pinang orang Melayu masih percaya kepada UMNO. Mereka melihat hanya UMNO yang boleh membantu orang Melayu dan Islam. Saya juga yakin orang Melayu akan balik semula kepada UMNO. Tapi kita juga perlu tunjukkan disiplin yang baik. Jika kita sendiri pun berpe­cah-belah, rakyat tidak akan berasa yakin dengan kita. Tapi jika kita bersatu dan kuat, orang Melayu akan datang kepada kita sebab mereka hanya berharap kepada UMNO. Kita ada masih ada masa untuk fikirkan bagaimana mahu memperkasakan lagi parti ini dan bekerja untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.