“Ia lebih dari itu yang berkaitan soal pembelaan rakyat. Tiada gunanya UMNO berusia 70 tahun pada 11 Mei 2016, andai himpitan rakyat yang perlu dibela ini terus pincang,” kata Rais, 73, orang lama berpengalaman dalam UMNO dan kerajaan kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di Pejabat Sosio Budaya Kerajaan, Kuala Lumpur semalam.

Utusan: Sepatutnya Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang me­labuhkan tirainya Sabtu lalu menjadi titik penamat apa sahaja rasa tidak sehaluan orang nombor dua terhadap nombor satu parti?

RAIS: Kita semua telah melihat pengakhirannya. Tinggal lagi sekarang, cabaran kepada UMNO ialah tetap pada soal penyatuan. Walaupun bersalaman tempoh hari itulah maklum balasnya, ia masih belum masak. Ia masih dapat ‘kalau bulat digolekkan, kalau pipis dilayangkan’, maka belum boleh (berlaku) perpaduan tadi.

Isu memberi peluang bersuara kepada timbalan presiden tidak boleh diketepikan.

Mungkin orang berkata sebab dia sudah bercakap di Kelab Sulaiman, cukuplah tu. Itu gara-gara dia seorang ahli politik. Tapi hak dia nak bercakap di perhimpunan agung ditiadakan, itu menjadi isu besar. Sebab timbalan lain tidak pernah dalam keadaan begitu. Selagi itu tidak diselesaikan, maka dia sebagai timbalan mempunyai beberapa nilai perjuangan sendiri.

Dapatkah dikawal rasa tidak puas hati orang nombor dua parti selepas ini?

Isunya, dapatkah para pemim­pin UMNO sekarang mengawal pendirian dan reaksi timbalan presiden yang ada sekarang? Mahu tak mahu, beliau akan terus sebagai Timbalan Presiden sehingga satu tahun tujuh bulan akan datang. Ini bergantung kepada penentuan dibuat Perdana Menteri sama ada nak mengadakan pilihan raya dulu atau pemilihan UMNO dulu. Biasanya dahulu, pilihan raya dulu. Setelah senario ini, usaha sekarang mesti dijalankan menyatukan balik. Tetapi penyatuan ini perlu mengikut ramuan (ingredient). Satu daripadanya yang saya lihat ialah membawa balik UMNO kepada tuntutan Fasal 3. Kalau itu tak dapat, tak usah ceritalah. Apa yang ada dalam Fasal 3, orang UMNO tahulah.

Ada melihat isu kepimpinan dalam UMNO ini tidaklah besar sangat?

Walaupun politik itu penting, yang mustahak adalah tuntutan membela rakyat sekarang ini. Mesti berimbang. Kerajaan mesti lebih membela rakyat. Kenaikan barang yang mahal untuk kehidupan sekarang misalnya. Dan pandangan kita terhadap kenaikan tol. Pandangan kita terhadap harga-harga sekarang melonjak tinggi yang tidak realistik pendapatan dengan perbelanjaan. Ini lebih meruntun UMNO nanti selain daripada hendak siapa nak jadi bos.

Realiti ini mesti diterima. Selagi kita tak mahu nak bercakap pasal ini, tidak usahlah bercerita pasal masa hadapan UMNO. Amat serik sebab ia berkaitan dengan cara hidup, beban hidup.

UMNO ini sebahagian daripada nilai politik kepada rakyat. Jadi, kalau dapati harga barang terus naik, tol terus naik, bagaimana? Hal-hal bergandingan dengan pendidikan pun mahal. Maka, apa erti UMNO pada orang Melayu?

 

Jadi, kemelut antara timbalan presiden dengan presidennya Tan Sri fikir kecil?

Pada saya itu sangat kecil. Boleh beres dengan secawan teh tarik. Yalah, bergantung pada siapa yang jemput. Begitu juga Tun Dr. Mahathir (Mohamad). Tapi kalau semua ini kalau kita dapat atasi, cakap-cakap Tun Dr. Mahathir pun tak ada (yang) panas lagi. Apa dia nak kritik? Oh, setakat mengkritik pasal 1MDB orang pun dah muak. Dah, tak payah cerita pasal itu. Dengan alasan Peguam Negara jangan cakap banyak fasal (sumbangan) RM2.6 bilion ini, itu tak jadi masalah sangat kepada rak­yat berbanding dengan himpitan hidup sekarang. Jadi, penimba­ngan membela rakyat dengan menyusun semula UMNO mesti kena nisbahnya.

UMNO akan mencapai usia 70 tahun pada 11 Mei tahun depan, apa harapan Tan Sri?

Tumpuan sekarang bukan kepada isu politik sangat. Tumpukan kepada pembelaan masyarakat. Atasi himpitan hidup. Ini mesti menjadi piagam UMNO 70 tahun. Pada saya juga, tiada gunanya UMNO ada ahli berjumlah 3.5 juta orang ini sekiraya parti kucar-kacir. Dan kita mesti terima hakikat yang hadir tempoh hari (dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015) hanya kira-kira 2,600 orang. Yang di bawah sana ratusan ribu lagi yang tak sama pemikiran dengan perwakilan itu.

Ucapan seperti wakil Gopeng (Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Senator Datuk Hamzah Mohd. Kassim dalam perhimpunan parti menyelar Muhyiddin dan Mahathir) harus diketepikan kerana kita berhadapan dengan slogan atau perbuatan yang membina masyarakat.

Masyarakat mesti dibela lebih berbanding daripada isu-isu UMNO ini sekarang. Barulah UMNO dapat ditarik (disokong) balik (oleh rakyat). Kalau semua puji-puji tapi harga barang terus begitu tinggi. Tak mampu ini, tak mampu itu, habislah. Tak ada makna juga untuk UMNO.