Difahamkan tindakan tersebut berpunca rasa tidak puas ha­ti 60 ahli PPBM berkenaan ber­hubung pelantikan jawatankuasa baharu PPBM kawasan itu pada Februari lepas.

Salah seorang ahlinya, Ali Ahmad, 57, yang juga merupakan bekas Pengerusi PPBM Baling berkata, mereka terkilan apabila jawatankuasa penggerak PPBM yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu dinafikan hak mereka.

Dakwanya, kira-kira 500 daripada 800 ahli PPBM kawasan tersebut dijangka mengikut jejak mereka tidak lama lagi.

“Jawatankuasa kami dinafikan hak untuk menerima watikah pelantikan penajaan daripada pucuk pimpinan sedangkan segala gerak gempur, sesi dialog dan ceramah serta merekrut keahlian kami jayakan berpandukan misi dan visi parti.

“Kami merasa amat berkecil hati apabila watikah yang sepatutnya menjadi milik kami di-serahkan kepada seorang yang tidak pernah terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam gerak kerja parti sejak awal penubuhannya di sini,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keluar parti PPBM di Dewan Baling Inn, hari ini.

Dakwanya, kejadian itu me­nun­jukkan bahawa pucuk pimpinan PPBM tidak prihatin akan senario politik di sesebuah bahagian seperti di Baling.

“Kami juga tidak pernah meng­hantar senarai jawatan­kua­sa kedua untuk dinilai oleh pu­cuk pimpinan seperti di sesetengah bahagian lain yang membolehkan hak kerja mereka dinafikan.

“Pucuk pimpinan juga mengabaikan segala bantahan kami sebelum ini, sedangkan bantahan itu lebih kepada ingin menjaga kepentingan parti melebihi daripada kepentingan peribadi. Apabila pucuk pimpinan tidak mendengar suara kami, maka kami sebulat suara mengisytiharkan keluar parti ini berkuat kuasa serta merta,” katanya.