Kemasukan wakil-wakil rakyat berkenaan adalah selepas sebulan parti dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu mengumumkan hasrat untuk melebarkan sayapnya ke Negeri Di Bawah Bayu tersebut.

Enam wakil rakyat terlibat ialah dua ahli Dewan Undangan (ADUN) dan empat ahli Parlimen Sabah yang pernah mewakili UMNO sebelum ini.

Mereka ialah ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd. Noor dan ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun serta empat ahli Parlimen iaitu Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort) serta Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Sementara itu, dua senator terlibat pula ialah Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.

Dr. Mahathir dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini telah menyerahkan kad keahlian parti.

Meskipun Bersatu telah mula bertapak di Sabah jelas Dr. Mahathir, parti itu akan menyokong Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Tegasnya, Bersatu tidak mempunyai niat untuk mengetepikan atau menggantikan kerajaan di negeri itu.

“Bersatu akan ke Sabah pada 6 April ini tetapi sebelum kita datang pun ada permintaan untuk menyertai Bersatu di Sabah.

“Kita telah memberi tempat kepada Warisan walaupun mereka bukan anggota Pakatan Harapan (PH). Kita beri tempat di dalam Kabinet.

“Parti-parti komponen PH akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri Warisan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan berkenaan.

Ditanya berhubung kedudukan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, Dr. Mahathir menjelaskan, ahli Parlimen itu belum lagi menyertai Bersatu dan akan melihat perkara itu.

Kata beliau, enam lagi wakil rakyat turut akan menyertai Bersatu selepas ini.

“Kita akan mempertimbangkan penyertaan ke Bersatu. Mereka kena bebas dan lihat rekod dan komitmen dalam PH,” katanya.

Ditanya tentang status Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira- kira Wang Negara (PAC) selepas penyertaan berkenaan, Dr. Mahathir berkata, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu akan terus memimpin PAC.

UMNO Sabah pada Disember lalu menyaksikan hampir keseluruhan kepimpinannya bertindak meninggalkan parti itu dengan diketuai oleh Hajiji yang ketika itu merupakan Pengerusinya.

Bulan lalu, Dr. Mahathir pula mengumumkan bahawa Bersatu akan melebarkan sayapnya di Sabah tidak lama lagi bagi melengkapkan tiga lagi parti Pakatan Harapan (PH) sedia ada di negeri itu.

Dr. Mahathir berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keperluan rakyat Sabah yang ingin menyertai Bersatu selain Warisan.

Namun kata beliau, pihaknya menetapkan syarat penting iaitu pemohon mesti keluar UMNO dan bukan ahli dalam mana-mana parti PH, menjadi ahli bebas dalam tempoh yang lama dan latar belakang pemohon yang akan ditapis terlebih dahulu. - UTUSAN ONLINE