Kesemua ahli PPBM itu menye­rahkan borang keahlian mereka kepada Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Faizul Arby Mohd. Shohor dengan disaksikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bekas Penaja dan Setiausaha PPBM Larut, Shafie Mohd. Khairy berkata, tindakan itu diambil kerana tidak lagi menyakini perjuangan parti tersebut dalam memperjuangkan hak-hak rakyat khususnya kaum Melayu.

Katanya, ini kerana parti tersebut hanya memperjuangkan ke­pen­tingan individu tertentu dalam PPBM.

“Kami juga tidak lagi mempercayai kepemimpinan Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azu­mu yang mana pelantikannya dibuat kerana pengaruh DAP.

“Kami tidak mahu bersama parti yang menyokong DAP yang mana jika pakatan memerintah negeri ini maka boneka Menteri Besar adalah daripada parti DAP,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Menurut Shafie, beliau dan yang lain mengambil keputusan menyertai UMNO kerana yakin dengan perjuangan parti tersebut yang akan terus menjaga kepen­tingan orang Melayu di negara ini.

Dalam masa yang sama beliau menafikan menyokong dan menyertai UMNO kerana imbuhan atau apa-apa yang pembangkang dakwa sebagai dedak.

“Tindakan ini adalah kerana kami yakin dengan UMNO, parti yang bukan sahaja menjaga kepentingan orang Melayu tetapi mampu memimpin negara dan negeri ini dengan lebih baik dan terjamin,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, kecelaruan kepemimpinan tertinggi PPBM dalam mengemudikan parti itu menyebabkan ahli-ahlinya yang terpengaruh dengan matlamat palsu mereka sebelum ini kembali menyokong dan menyertai UMNO.

Katanya, Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri yang kononnya mahu membawa perjuangan agama dan bangsa dalam parti itu sebenarnya tidak benar apabila lebih menumpukan kepada cita-cita untuk menentukan masa depan anak-anak dan kroninya sahaja.

“Apabila mendengar semangat yang diuar-uarkan Tun Mahathir, mereka yakin beliau bercakap benar, namun dari sehari ke sehari, mereka sedar Tun Mahathir hanya mempunyai satu cita-cita iaitu untuk anak dan kroni sahaja,” dakwanya.