Keempat-empat parti iaitu UMNO, Pas, MIC dan MCA bersepakat bahawa Guan Eng perlu disiasat di bawah Akta Hasutan kerana kenyataan beliau berhubung kerjasama UMNO dan Pas.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, mereka juga bersepakat bahawa Setiausaha Agung DAP itu perlu meletakkan jawatan.

"Kenyataan beliau berniat jahat dan menghasut, tindakannya itu boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini.

"Sehubungan itu, kami mendesak beliau untuk meletak jawatan dan membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai satu 'pengisytiharan perang' kepada masyarakat bukan Melayu.

Kenyataan itu bagaimanapun ditukar dengan penukaran frasa 'pengisytiharan perang' yang diubah kepada 'menyasarkan'.

Turut hadir, Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Juwahir Amin dan Ketua Pemuda MIC negeri, R. Sathiaseelan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA negeri, Ling Tian Soon yang dihubungi memaklumkan beliau tidak dapat hadir atas sebab tertentu namun bersepakat dengan laporan polis berkenaan. - UTUSAN ONLINE