Kesemua ahli Armada yang keluar parti itu kemudiannya menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO.

Bekas Penyelaras Armada PPBM Melaka, Mohd. Hafiz Iskandar Jamil berkata, keputusan tersebut diambil ekoran kekecewaan mereka dengan perjuangan tidak menentu selain sikap pucuk kepemimpinan parti.

“Apa yang saya lihat sepanjang berkhidmat dalam PPBM, parti ini tidak menunjukkan perjuangan sebenar mereka untuk membela anak bangsa, sebaliknya hanya mempergunakan tenaga kami untuk menjayakan majlis PPBM dan sebagainya.

“Justeru, saya bersama 200 ahli Armada PPBM merasakan perlu untuk tidak melawan arus dan memilih untuk bersama UMNO dan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menye­rahkan borang keahlian UMNO kepada Setiausaha Kerja UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Kampung Pulau di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Jelas Mohd. Hafiz, pengumuman keluar parti itu melibatkan ahli Armada PPBM dari lima bahagian dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Sementara itu, Ab. Rauf ketika ditemui memberitahu, langkah yang diambil 200 bekas ahli PPBM tersebut membuktikan hanya UMNO parti yang memperjuangkan nasib rakyat sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, kecelaruan Pakatan Harapan diketuai DAP untuk memilih pucuk pimpinan sudah cukup membuktikan mereka jelas tidak pernah sepakat.