Komitmen itu dizahirkan Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berdasarkan semangat ditunjukkan oleh ahli-ahli sayap UMNO itu di peringkat negeri.

"Dengan memakai baju putih dan tudung putih, Wanita UMNO akan sama-sama berhimpun bersama Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk 'putihkan' Dataran Merdeka," kata beliau dalam kenyataan di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Noraini memberitahu, himpunan itu merupakan manifestasi penyatuan ummah dalam mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial berkaitan orang Islam, Melayu dan bumiputera.

Pada masa sama, jelas Ahli Parlimen Parit Sulong itu, tujuan utama himpunan tersebut adalah untuk menzahirkan kesyukuran di atas pembatalan ratifikasi ICERD.

"Kita tidak mahu orang ramai tersalah tafsir mengenai himpunan ini kerana terdapat ramai pihak cuba mengambil peluang dengan memburuk-burukkan himpunan sedangkan kita hanya akan berhimpun secara aman," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE